KUALA TERENGGANU – Bekas guru besar sebuah sekolah rendah di Marang dihadapkan atas 15 pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan berjumlah keseluruhan RM500,318 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Zalina Bidin, 47, yang kini bertugas sebagai pegawai pendidikan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Marang membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 12, tertuduh didakwa bersubahat dengan pembantu tadbir dan ejen syarikat terbabit mengemukakan dokumen palsu sehingga mendorong pembayaran melibatkan amaun keseluruhan RM500,318 diluluskan antara 2 Mei 2022 hingga 20 Februari 2023
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 420 akta sama.
Bagi pertuduhan ke-12 hingga ke-15 pula, tertuduh didakwa bersubahat berpakat dengan penyelia sebuah syarikat pembersihan memperdaya pembantu tadbir Pejabat Pendidikan Daerah Marang dengan mengemukakan borang pengesahan dan rekod kehadiran
pekerja kebersihan palsu.
Zalina didakwa mengemukakan borang menuntut gaji penuh bagi salah seorang pekerja pembersihan sedangkan individu tidak hadir bekerja selama 21 hari pada bulan Julai, Ogos dan September 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Kosmo! 6 Februari 2024 melaporkan Zalina bersama dua suspek lain ditahan bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan sekolah rendah berkenaan. – KOSMO! ONLINE