SUNGAI PETANI- “Alhamdulillah syukur, doa kami memohon Allah menyelamatkan anak dan cucu yang hilang di laut sejak lima hari lalu dimakbulkan apabila mereka ditemui selamat di Indonesia tengah hari tadi,” kata Halimah Shaari, 67.
Halimah ibu kepada Asrol Hisham Zainol, 47, turut melakukan sujud syukur sejurus menerima panggilan telefon daripada cucunya Shahril Aiman,17, dari Aceh Tamiang lebih kurang pukul 1.20 tengah hari tadi mengatakan mereka bertiga selamat.
“Dalam keadaan terkejut dan sebak kerana tidak dapat bercakap, anak ketiga saya Asmawadi kemudiannya meneruskan perbualan dengan abangnya Asrol Hisham yang turut meminta kami usah risau selain sabar menunggu kepulangan mereka nanti,” katanya di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu Melintang di sini, lewat petang tadi.
Kata Halimah, sejak kehilangan anak kedua dan cucunya itu bersama seorang kenalan mereka Khamis lalu, dia sekeluarga tidak henti-henti berdoa, melakukan solat hajat agar kesemua mereka ditemui hidup dan selamat.
“Syukur Allah makbulkan doa dan sekarang kami tidak sabar menunggu kepulangan mereka kerana kehilangan mereka sejak lima hari lalu dirasakan terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, Barisah Ahmad, 59, ibu kepada Mohamad Amin Suffian, 30-an yang ditemui di rumahnya di Taman Semarak turut gembira apabila menerima perkhabaran sama tengah hari tadi.
“Saya tidak sabar untuk memeluknya sebaik anak sulung Syafiqah, 31, memaklumkan ada menerima panggilan berkaitan penemuan dan keadaan terkini anaknya dan dua beranak yang ditemui tengah hari tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE