fbpx

Fourkay catat sejarah dalam industri gadaian emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaharuddin (kiri) membantu Fourkay menambah nilai perkhidmatan gadaian emas kepada berlandaskan syariah yang akan membantu menaikkan imej dan mengukuhkan kedudukan Fourkay dalam industri.

PUTRAJAYA – Siapa sangka rahmat di sebalik pandemik yang membuatkan ramai terkesan, dibuang kerja, perniagaan terpaksa ditutup dan pelbagai lagi ujian yang dirasai sebenarnya dapat mematangkan pengalaman dan pemikiran seseorang itu.

Melalui jalan keluar yang ditunjukkanNya, pasangan suami isteri ini bertuah kerana mampu mengubah nasib mereka sehingga berjaya membangunkan perniagaan baharu malah mencatat sejarah dalam industri berkaitan emas gadaian pertama di negara ini sebagai syarikat bumiputera pertama yang mendapat sijil pematuhan syariah.

Fourkay Sdn Bhd. (Fourkay) diasaskan oleh Mohamad Sanusi Mohd Isa dan dibantu pengasas bersamanya yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus mengoperasikan perniagaan pembelian emas gadaian dan emas terpakai bermula pada pertengahan tahun 2022.

Kedua mereka tidak memiliki pengalaman langsung dalam bisnes tersebut kerana masing-ma­sing berasal daripada bidang perhotelan, bagaimanapun suaminya yang tidak bekerja dalam tempoh pandemik menerima kesan langsung kepada pendapatan keluarga.

“Ketika itu, kami berada ‘dititik’ paling bawah dan rezeki ditaja melaksanakan umrah oleh ibu saya pada awal tahun 2022 telah memberi semangat baharu kepada kami.

Mohamad Sanusi dan Puteri Ainsyah pada sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

“Selepas balik ke tanah air, saya yang menyimpan barang kemas di salah sebuah institusi kewangan Ar Rahnu bercadang untuk menjual surat gadaian tersebut bagi mendapatkan wang.

“Jadi, kami mula bertanya kepada beberapa individu yang mahu membeli surat gadaian itu, ternyata ia satu cara yang mudah untuk mendapatkan lebihan wang, ada yang tawarkan RM300, ada yang berharga RM500 tetapi apabila kami berjumpa dengan seorang individu ini, dia telah tawarkan satu nilai yang berkali ganda besar.

“Kami tertarik dengan tawaran tersebut dan suami yang ketika itu membuat pelbagai kerja mula bertanyakan sekiranya dia boleh belajar untuk terlibat dalam bidang berkenaan.

“Asbab kepada rezeki baharu kepada kami, individu tersebut telah membantu kami bermula dari sifar hinggalah berjaya membuka perniagaan sebegini.

“Sehingga kini, hubungan kami baik dan kami sangat berterima kasih kepada individu berkenaan kerana berkongsi ilmu sehingga kami dapat memulakan perniagaan dan sampai ke tahap ini sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pen­yerahan sijil pematuhan syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory (Elzar) yang dike­tuai oleh figura kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di sini baru-baru ini.

Puteri Ainsyah menerangkan, pada fasa awal perniagaan, pasangan usahawan ini telah me­laburkan sehingga RM100,000 sebagai modal pengoperasian bisnes secara berperingkat-pe­ringkat tanpa membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

Puteri Ainsyah Quraisha

Berpangkalan di Southville City, Dengkil, Fourkay telah berjaya membantu lebih daripada 10,000 pelanggan dan mengunjurkan pertambahan sekali ganda jumlah pelanggan tersebut pada tahun 2025.

Puteri Ainsyah menjelaskan, perniagaan Fourkay tertumpu kepada dua cabang emas gadaian dan juga emas terpakai, bagaimanapun hampir 90 peratus daripada perniagaan tersebut tertumpu kepada segmen emas gadaian.

“Bisnes ini terdedah kepada kegiatan penipuan sama ada pelanggan itu berkemungkinan memiliki barang kemas yang dicuri atau emas tiruan.

“Sehubungan itu, kami sangat berhati-hati dengan pelanggan yang mahu menjual emas terpakai kerana kami perlukan surat pembelian emas tersebut.

“Bila kami dapat panggilan daripada pelanggan untuk menjual emas terpakai, kami akan menghantar kakitangan yang mahir dalam bidang tersebut.

“Kami terpaksa memilih pe­langgan dan daripada pengalaman lalu, biasanya kami sudah dapat mengenalpasti sama ada individu tersebut pemilik emas terpakai yang sebenarnya atau waris bagi barangan emas terpakai (sekiranya tiada dokumen sah bukti pembelian barangan tersebut),” ujarnya.

Bagi meningkatkan ketelusan dan menawarkan tahap profesionalisme perkhidmatannya, Fourkay memiliki segala peralatan untuk memastikan barang kemas itu tulen atau sebaliknya.

Selain itu, Puteri Ainsyah menerangkan, bagi perancangan masa depan syarikat, pihaknya mahu menceburi bidang jualan barang kemas prelove dan juga menerima tempahan untuk ukiran emas yang bakal dimulakan pada separuh tahun pertama 2025.

Tambah beliau, industri ini berpotensi dan ia memberi peluang kepada Fourkay untuk terus berdiri kukuh dengan penguasaan pasaran sedia adanya namun menyimpan misi untuk melebarkan sayapnya tetapi bukan melalui pelantikan ejen-ejen.

Ini kerana untuk mengelak daripada perkara di luar jangka yang boleh menjejaskan imej syarikat dan dalam masa yang sama mahu sentiasa menjaga tahap ketelusan dan kepercayaan kukuh yang diberikan oleh pe­langgan terhadap Fourkay selama ini.

“Kami rasa masih ramai orang di luar sana yang terkesan dan memerlukan bantuan kewangan dan salah satu caranya adalah dengan melalui perkhidmatan jualan emas gadaian berlandaskan hukum syariah,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI