PETALING JAYA – Abang kepada Khairul Handzalah Sufi yang meninggal dunia di sebuah taska tidak berlesan di Kuala Langat baru-baru ini, meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap adiknya itu berusia empat bulan.
Perkongsian bapa Handzalah, Khairul Azwan Mohamed Daud, 33, di ‘Instagram Story’ menunjukkan beliau sedang melihat video kenangan bersama arwah anaknya di telefon bimbit anak sulungnya itu, Khairul Iskandar Saqeef, 4.
Selepas itu, Iskandar telah mengambil telefon tersebut dan menonton video adiknya, Handzalah berulang kali serta mencium skrin telefon tersebut, seolah-olah memberikan tanda kasih sayang kepada adiknya yang telah pergi.
“Dada (Iskandar) cakap Dada rindu Handzalah. Ya Allah, kau kuatkanlah kami,” tulis Azwan di hantaran tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang bayi, Khairul Handzalah Sufi meninggal dunia di sebuah taska haram di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE