KOTA TINGGI – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan banjir diberikan ruang tidur berasingan daripada mangsa-mangsa lain di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan bilik khas bagi memastikan mereka dapat mengulangkaji pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan tenang.
“Seluruh Johor juga guna kaedah sama. Kita pastikan murid calon SPM mesti ada akses untuk duduki peperiksaan kerana itu kita beri kemudahan. Selain itu, mereka turut diberi pilihan untuk tinggal di asrama sekolah,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini pada keseluruhan peperiksaan SPM berjalan lancar dan tiada calon SPM yang terkesan banjir tidak hadir peperiksaan. – KOSMO! ONLINE