PETALING JAYA – Blueprint Pelancongan Labuan yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka siap pada April 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelan tindakan itu akan menjadi panduan strategik untuk membangunkan sektor pelancongan dari tahun 2025 hingga 2030.
“Walaupun banyak yang telah dibincangkan dan dirancang, masih banyak kerja yang perlu diselesaikan demi kesejahteraan rakyat Labuan.
“Kita terus berusaha agar Labuan menjadi wilayah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Dr. Zaliha berkata, beliau memulakan lawatan kerja pertama tahun 2025 ke Labuan dengan menghadiri taklimat pengurusan Perbadanan Labuan.
Katanya, dalam sesi itu, banyak perkara penting telah dibincangkan dan diselaraskan bagi meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan di Labuan.
“Yang paling menarik, perbincangan juga melibatkan hala tuju pelancongan di Labuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE