BANGKOK – Seorang lelaki menikam bapa tirinya di bahagian kepala selepas mereka bergaduh tentang cara menggoreng telur dalam kejadian di Pattaya, lapor portal berita Pattaya Mail hari ini.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota-anggota polis menemui mangsa, Krisada Matcha, 36, berlari menuruni tangga untuk mendapatkan bantuan. Kepala mangsa berlumuran darah dan sebilah pisau menusuk kepalanya.
Polis turut menemui Sathaporn Chieaplaem, 35, iaitu anak tiri mangsa yang menunggu pihak berkuasa untuk disoal siasat.
Sathaporn juga cedera dan berdarah di kepala tetapi mengaku menikam bapa tirinya. Suspek berkata, dia diserang terlebih dahulu.
Menurut Sathaporn, pertengkaran bermula apabila bapa tirinya, Krisada memukulnya dengan mangkuk sup sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.
Dalam keadaan marah, Sathaporn mengambil pisau tajam dan menikam kepala bapa tirinya.
Pada hari kejadian, mereka bertengkar mengenai cara menggoreng telur sebelum pergaduhan bertukar kepada keganasan.
Polis telah menahan Sathaporn untuk disoal siasat di Balai Polis Pattaya. – AGENSI