SHAH ALAM – Seorang akauntan syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) menjadi individu pertama dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian terhadap Hamimah Yakub, 73, selaku pemohon selepas membaca notis permohonan, afidavit dan meneliti hujahan bertulis dan lisan.
Pendakwa Raya sebagai responden juga tidak membantah permohonan Hamimah.
Katanya, pemohon adalah wanita yang tergolong dalam kategori pengecualian yang termaktub di bawah Seksyen 13 (2) (b) Akta SOSMA.
Malah, tiada keterangan dalam afidavit jawapan responden yang menunjukkan pemohon berisiko untuk melarikan diri atau mengganggu saksi-saksi sekiranya dibebaskan dengan jaminan.
“Mahkamah juga mengambil kira umur pemohon 73 tahun dan bukti sokongan mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya. Maka mahkamah membenarkan permohonan jamin dengan bersyarat,” kata Hakim itu.
Antara syarat diperintahkan oleh mahkamah adalah jaminan sebanyak RM40, 000 dengan dua penjamin, melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setiap dua minggu sehingga perbicaraan selesai.
“Pemohon wajib hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Pemohon juga tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi. Sekiranya sakit, penjamin perlu hadir mengemukakan sijil sakit hospital dan klinik kerajaan.
“Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan selain boleh dipenjara sehingga kes selesai,” katanya.
Hamimah merupakan antara 23 individu yang ditahan di bawah Akta SOSMA dan dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang kumpulan GISBH di sebuah lokasi di Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Terdahulu, pada prosiding itu, Peguam Kamal Hisham Jaafar berkata, permohonan jaminan itu dibuat di bawah peruntukan Seksyen 13(2)(b) Akta SOSMA.
“(Syarat) di bawah umur 18 tahun atau wanita atau sakit yang dahsyat, maka mahkamah boleh membuat pertimbangan untuk (pemohon) dibebaskan dengan jaminan.
“Permohonan kami dibuat secara spesifik mengikut seksyen tersebut bagi kategori wanita. Pemohon juga menghidap penyakit asma, diabetes, hipertensi dan ekzema kronik.
“Keadaan penjara yang serba kekurangan dan tidak selesa dari segi kebersihan menyebabkan kesihatan pemohon makin teruk. Tertuduh berada dalam tahanan reman di Penjara Wanita Kajang sejak 20 September 2024,” katanya.
Pemohon turut diwakili Peguam Muhammad Nor Tamrin menyatakan niat Parlimen memasukkan wanita dalam akta tersebut menunjukkan semangat Parlimen dalam mengangkat darjat wanita sebagai istimewa.
“Ditambah keadaan pemohon yang merupakan warga emas dan sejarah penyakit serta tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun berkata, pihak pendakwaan tiada bantahan dalam permohonan jaminan itu namun mohon syarat-syarat diberikan sebelum jaminan diberikan termasuk ikat jamin sebanyak RM30, 000. – KOSMO! ONLINE