KOTA TINGGI – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat melawat mangsa banjir di daerah ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi di sini.
“Kedua-duanya menempatkan kira-kira 390 orang mangsa banjir daripada 106 keluarga,” menurut hantaran itu.
Keberangkatan Sultan Ibrahim diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus.
Dalam pada itu, Miswan berkata, dalam lawatan itu Baginda bertitah supaya mangsa banjir sentiasa menjaga diri dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
“Tuanku bertitah supaya urusan di PPS dapat diuruskan dengan teratur dan mangsa banjir perlu patuhi arahan pihak berkuasa selain menasihati agar mangsa sentiasa menjaga diri dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini,” katanya kepada pemberita di PPS SJKC New Kota hari ini. – KOSMO! ONLINE