fbpx

93,635 mohon masuk MRSM, 8,909 dapat tawaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 8,909 pemohon diberi tawaran untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi kemasukan tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara keseluruhan Mara menerima sebanyak 93,635 permohonan.

“Sebanyak 7,229 tempat disediakan bagi kemasukan ke tingkatan satu dan 1,680 tempat disediakan bagi kemasukan ke tingkatan empat.

“Mara masih mengekalkan dasar sedia ada dengan 60 peratus penawaran adalah kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan kautamaan juga diberikan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Mara Integrated Accounting Conference (MICA) di ibu negara hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, semua pemohon diwajibkan melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan daripada 93,635 pemohon itu, jumlah calon layak secara minimum adalah 21,994 orang.

Kata beliau, semakan tawaran dibuka bermula pukul 12 tengah hari ini secara dalam talian dan maklumat juga dihantar kepada pemohon yang berjaya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan.

Menurut beliau, hebahan kemasukan tawaran itu turut dimaklumkan dalam media sosial rasmi dan portal Mara bagi memastikan maklumat sampai kepada pemohon.

Kata beliau, pemohon yang berjaya perlu membuat pengesahan menerima atau menolak tawaran kemasukan ke MRSM tersebut dalam tempoh tujuh hari.

“Mereka yang tidak membuat pengesahan dalam tempoh ditetapkan akan dianggap menolak tawaran ke MRSM,” katanya.

Beliau berkata, pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan pertama hari ini, manakala semakan kedua boleh dilakukan pada 27 Januari 2025.

“Semakan ketiga pada 3 Mac dan semakan keempat pada 17 Mac depan. Tawaran tempat kemasukan ini membabitkan semua 57 MRSM di seluruh negara termasuk yang terbaru di MRSM Ranau dan MRSM Bintulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI