BEIJING – Pihak kastam menahan empat wanita kerana cuba menyeludup ular hidup di dalam coli mereka dalam insiden di Pelabuhan Futian, Huanggang, China, lapor portal berita MSNews hari ini.
Menurut akhbar Guangming Daily, ketika kejadian baru-baru ini, kakitangan kastam sedang memeriksa ketibaan penumpang apabila mereka melihat seorang wanita kelihatan resah dan tergesa-gesa.
Didorong curiga, mereka melakukan pemeriksaan terperinci dan menemui dua ekor ular hidup yang dibalut dengan stokin kapas dan disumbat dalam colinya.
Pihak kastam turut menemui tiga wanita lain yang menyeludup ular hidup dengan cara sama.
Ketika disoal siasat, keempat-empat wanita itu berkata, mereka dihantar untuk membawa lapan ular hidup ke China dan mendapat sejumlah bayaran.
Pusat Teknikal Kuarantin dan Pemeriksaan Haiwan dan Tumbuhan Kastam Shenzhen mengenal pasti ular tersebut sebagai ular sawa bebola. – AGENSI