LANGKAWI – Tiga nelayan tempatan yang hilang di laut selepas keluar merawai di perairan Pulau Payar, di sini pada Khamis lalu disahkan selamat setelah seorang daripada mangsa menghubungi ahli keluarganya tengah hari tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, adik mangsa memaklumkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bahawa abangnya telah menghubungi ibu mereka.
“Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia yang dihubungi pihak Maritim Malaysia (APMM) memberi pengesahan ketiga-tiga mangsa telah diselamatkan nelayan Aceh Tamiang dan berada dalam keadaan baik.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 3.50 petang tadi. MRSC Langkawi akan berunding bersama Basarnas Indonesia bagi urusan membawa pulang semua mangsa,” katanya hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan tiga nelayan iaitu Asrulhisham Zainon, 47, bersama anaknya, Shahril Aiman Asrulhisham, 16, dan awak-awak, Mohamad Al-Amin Sufian, 29, hilang selepas keluar menangkap ikan pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE