PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua warga asing disyaki cuba memberi rasuah RM1,000 kepada anggota polis.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan kira-kira 9 malam tadi, ketika diserahkan oleh pihak polis kepada SPRM.
Menurutnya, suspek utama dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang menahannya kerana memandu motosikal tanpa lesen memandu dan nombor plat tidak lengkap.
“Kejadian berlaku sewaktu melakukan rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
“Suspek kedua pula dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang sama bagi melepaskan suspek utama yang merupakan rakannya. Kejadian berlaku di IPD Sentul kira-kira jam 3.30 petang,” katanya hari ini.
Katanya, suspek utama ditahan reman selama tujuh hari hingga 19 Januari ini ke atas suspek utama selepas peringah dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
“Suspek kedua dijangka dilepaskan hari ini dengan jaminan SPRM setelah selesai memberikan keterangan,” ujarnya
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE