KYIV – Tentera Ukraine menyatakan bahawa ia menyoal siasat dua askar cedera yang didakwa rakyat Korea Utara, selepas mereka ditangkap ketika berperang untuk Moscow di wilayah Kursk, Russia.
Kyiv, Amerika Syarikat dan Korea Selatan menuduh Korea Utara menghantar lebih 10,000 askar untuk membantu sekutunya, Russia memerangi Ukraine.
“Askar kami menangkap askar Korea Utara di wilayah Kursk,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di laman sosial.
“Mereka ialah dua askar yang cedera, terselamat dan dibawa ke Kyiv. Mereka disoal siasat oleh penyiasat SBU,” tambahnya sambil merujuk kepada agensi perisikan negara itu.
Kyiv tidak mengemukakan bukti bahawa dua lelaki tersebut ialah warganegara Korea Utara, manakala AFP tidak dapat mengesahkan kewarganegaraan mereka secara bebas.
SBU berkata, dua lelaki tersebut memberitahu penyiasat bahawa mereka ialah askar yang berpengalaman, manakala seorang daripadanya memberitahu bahawa dia dihantar ke Russia untuk menjalani latihan, dan bukannya berperang.
Ukraine mengeluarkan video yang menunjukkan dua lelaki itu berada di katil hospital. Seorang daripadanya mempunyai tangan berbalut, manakala seorang lagi berbalut pada rahang.
Sementara itu, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS) mengesahkan hari ini bahawa dua lelaki tersebut merupakan askar Korea Utara.
“NIS melalui kerjasama masa nyata dengan SBU telah mengenal pasti situasi medan perang, termasuk penangkapan askar Korea Utara.
“Kami mengesahkan bahawa tentera Ukraine menawan dua askar Korea Utara pada 9 Januari di medan perang Kursk di Russia,” kata NIS dalam satu kenyataan. – AFP