fbpx

Tragedi balik memancing, tiga sahabat lemas pikap tenggelam banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas dalam kejadian di Ladang YPJ, Ulu Sedili, Kota Tinggi semalm.

KOTA TINGGI – Hasil siasatan polis mendapati punca kematian tiga sahabat yang ditemui mati lemas di Ladang YPJ, Ulu Sedili, di sini semalam adalah disebabkan kenderaan pacuan empat roda (4X4) Toyota Land Cruiser dinaiki mereka terbabas memasuki parit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, semasa kejadian pada pukul 3.35 petang semalam itu, ketiga-tiga mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang daripada memancing.

Menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian, trak pikap Land Cruiser yang dinaik ketiga-tiga mangsa tersangkut ke dalam lumpur dan ketika kejadian juga berlaku banjir di kawasan tersebut.

“Dua rakan mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux cuba membantu dengan menarik Toyota Land Cruiser sebelum trak pikap itu masuk ke dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus yang deras.

“Pengadu dan rakannya telah bertindak keluar dari Toyota Hilux dan cuba untuk menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dengan bertindak memecah tingkap di sebelah kiri hadapan dan berjaya mengeluarkan salah seorang dari mangsa di mana mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pengadu cuba untuk menyelamatkan baki dua orang mangsa lain tetapi tidak berjaya kerana terperangkap di dalam kenderaan yg dimasuki air,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi yang tiba ke lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa pertama telah meninggal dunia.

Ujar beliau, usaha pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diaturgerak seawal pukul 6.10 petang untuk mencari baki dua mangsa yang masih hilang.

“Hasil pencarian, kedua-dua mangsa telah dijumpai terperangkap di dalam Toyata Land Cruiser dan berjaya dibawa naik ke darat masing-masing pada pukul 11.07 malam dan 12.14 tengah malam tadi,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Lee Fook Wan, 48, Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut siasatan .-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI