KINABATANGAN – Sembilan pekerja sebuah ladang kelapa sawit dikejarkan ke hospital selepas terhidu racun serangga ketika menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di ladang seluas lapan hektar semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.11 petang sebelum pasukannya digerakkan ke lokasi yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Semua pekerja yang terlibat dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan dengan memasang sawar-sawar bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud. – KOSMO! ONLINE