KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young memulakan kempen Jelajah Dunia 2025 dengan penuh cemerlang selepas berjaya mengekalkan gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, pemain No.1 dunia itu tidak berdepan laluan sukar apabila mudah menewaskan wakil China, Wang Zhi Yi 21-17, 21-7 dalam tempoh 45 minit.
Se Young berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat untuk dia terus menggalas misi bagi meleburkan rekod 10 gelaran dalam tempoh setahun yang pernah dilakukannya pada saingan 2023.
“Ini satu pencapaian yang cukup besar untuk saya. Hari ini saya hanya keluarkan permainan sendiri dan kekal konsisten sepanjang perlawanan, sebab itu saya mampu catat kemenangan.
“Sudah tentu saya mahu pecahkan rekod sendiri (10 kejuaraan) dan itu menjadi sumber motivasi saya. Ia membuatkan saya dahagakan lebih banyak kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.
Kemenangan itu turut menyaksikan Se Young menjadi perseorangan wanita Korea paling berjaya dalam sejarah Terbuka Malaysia apabila dia merupakan satu-satunya pemain negara itu yang pernah memenanginya.
Sementara itu, dia juga menjadikan dua kekalahan berturut-turut kepada Zhi Yi sebelum ini sebagai pengajaran berharga sehingga dia mampu menebus kekalahan kepada lawannya itu.
“Saya anggap ia (kekalahan) sebagai pengalaman dan belajar daripada situ untuk bangkit. Apa yang sudah berlaku tidak penting kerana paling penting adalah keadaan sekarang,” ujar Se Young.
Selaku juara, pemain berusia 23 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$101,500 (RM456,750) berserta pingat manakala Zhi Yi berpuas hati dengan AS$49,300 (RM221,850) dan pingat. – KOSMO! ONLINE