PETALING JAYA – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa anak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menggunakan kedudukan bapanya untuk mengaut kekayaan adalah tidak berasas.
Menjawab tuduhan terbabit, anak kepada bekas Perdana Menteri kelima, Tan Sri Kamaluddin Abdullah berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian mahupun melakukan perkara seperti didakwa itu.
“Sebagai respon kepada kenyataan terkini Tun Mahathir mengenai saya, saya dengan tegas menafikannya.
“Tun Mahathir jelas sangat kecewa dan marah terhadap banyak perkara dan individu. Saya tidak pernah berkata sedemikian, dan saya juga tidak melakukan perkara sedemikian,” katanya pada satu hantaran di laman Instagram malam tadi.
Malah pada hantaran itu juga, Kamaluddin turut meminta orang ramai agar mendoakan kesejahteraan Tun Mahathir yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke 100 tahun ini.
“Hal yang terbaik yang kita boleh lakukan adalah berdoa untuk kesejahteraannya dan berharap agar di hujung usianya (Dr Mahathir), beliau menemui kedamaian dalam diri,”kata Kamaluddin.
Sebelum ini, Mahathir mendedahkan perbualan yang didakwanya pernah berlaku antara anaknya dan anak Abdullah yang menyebut anak Perdana Menteri kelima itu dikatakan menyatakan niat menggunakan kedudukan bapanya bagi mengaut kekayaan.
Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, bekas Perdana Menteri itu mengaku beliau terkejut dengan pendedahan itu.
Katanya, penggantinya percaya bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau menyalahgunakan kuasa dan rasuah.
Mahathir turut meluahkan rasa kesal pemimpin-pemimpin itu lebih memandang kedudukan Perdana Menteri sebagai peluang untuk mengaut kekayaan, bukannya untuk memimpin dan membangunkan negara. – KOSMO! ONLINE