fbpx

RSC prihatin demi pembangunan hoki akar umbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAKIL RSC dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) menerima sumbangan peralatan hoki dalam satu majlis di RSC Bukit Kiara semalam.

KUALA LUMPUR – Kelab Diraja Selangor (RSC) terus membuktikan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan hoki di peringkat akar umbi apabila menyumbangkan peralatan hoki kepada tiga pasukan terpilih sempena Kejohanan Hoki Remaja Bawah 12 Tahun (B-12) di RSC Bukit Kiara semalam.

Sumbangan tersebut termasuk kit lengkap penjaga goltopi keledar hoki, bola latihan dan baju hasil inisiatif program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) RSC yang dibiayai melalui sumbangan ahli-ahli kelab.

Pengerusi penganjur, Oommen Koshy berkata, pemilihan pasukan penerima dibuat dengan teliti berdasarkan pencapaian dan keperluan mereka.

“Kami menilai prestasi dan keperluan setiap pasukan sebelum memutuskan bantuan ini. Tujuannya untuk memastikan sumbangan ini memberi impak positif kepada pembangunan sukan hoki di peringkat sekolah,” katanya.

Antara penerima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) diwakili jurulatihnya, Syafiq Sufian yang mengakui ia amat bermakna buat pasukannya yang kekurangan bantuan kewangan bagi pembangunan hoki.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur. Set penjaga gol lama kami sudah uzur dan dengan sumbangan ini, kami dapat menggunakannya untuk latihan dan kejohanan,” ujar Syafiq.

Tambahnya, bantuan tersebut memberi motivasi besar kepada pasukannya untuk mencungkil lebih ramai bakat muda di peringkat sekolah.

“Kami berharap pemain-pemain daripada program ini kelak dapat menyumbang kepada kejayaan hoki negara. Kami di peringkat sekolah memang sukar untuk mendapatkan pembiayaan terutama dari pihak luar, jadi sumbangan ini amat bermakna buat kami,” katanya.

Dua lagi sekolah yang turut menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching dan pasukan hoki Falcon.

Inisiatif murni RSC itu diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak pihak untuk tampil menyokong pembangunan sukan hoki, sekali gus melahirkan generasi pemain berbakat yang mampu membawa nama negara ke persada dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN