RATU boling No. 1 dunia, Natasha Roslan mengukir sejarah cemerlang apabila menjadi pemain boling wanita pertama negara yang menjuarai Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF), sekali gus mencipta rekod baharu dalam arena boling tanah air.
Pemain berusia 27 tahun itu merangkul gelaran dengan penuh bergaya selepas menundukkan wakil Jerman, Birgit Noreiks 2-0 (217-166, 226-169) di Top Bowl, Kai Tak Sports Park, Hong Kong, kelmarin.
Lebih membanggakan, Natasha kini mencatat pencapaian luar biasa apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang melengkapkan kejohanan berganda berprestij, Piala Dunia dan Kejohanan Dunia selepas pernah meraih gelaran juara perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.
“Ini sesuatu yang luar biasa dan membanggakan. Menjadi wanita pertama memenangi Piala Dunia dan juga pemain pertama merangkul dua gelaran individu dunia adalah perasaan yang sukar digambarkan.
“Tapi, saya tak boleh terlalu leka kerana ada satu lagi acara menanti. Saya mahu pastikan kemenangan untuk pasukan supaya semua dapat pulang dengan bangga, sekali gus membuktikan bahawa pasukan Malaysia adalah pasukan bertaraf dunia,” kata Natasha.
Kemenangan Natasha turut menamatkan penantian 13 tahun Malaysia untuk kembali merangkul gelaran Piala Dunia IBF selepas kali terakhir dimenangi oleh Syafiq Ridhwan Abdul Malek pada 2012 di Wroclaw, Poland.
Sementara itu, dalam kategori lelaki, Rafiq Ismail hampir mengukir gelaran buat kali kedua tetapi terpaksa akur dengan kekalahan tipis kepada wakil China, Du Jian Chao, 2-1 (222-223, 226-166, 235-193).
“Saya rasa ini permulaan yang baik untuk tahun ini. Menamatkan kejohanan di tempat kedua adalah satu pencapaian yang hebat. Sekarang saya fokus pada acara berpasukan dan berharap dapat membawa pulang kejayaan bersama pasukan,” kata Rafiq.