BALIK PULAU – Keterujaan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi ‘Superman’ selain menunjukkan ‘taring’ berlumba di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua akhirnya masuk perangkap, pagi tadi.
Menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan bermula pukul 4 pagi itu, seramai 60 pemilik motosikal terpaksa berputih mata apabila kenderaan mereka disita polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, sebanyak 120 motosikal diperiksa, dengan 60 daripadanya telah disita atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk pengubahsuaian motosikal secara haram.
”Satu tangkapan turut dibuat kerana memasukkan nombor pendaftaran palsu dan mengubah enjin motosikal. Kesalahan ini serius kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 170 saman dikeluarkan sepanjang operasi ini atas pelbagai kesalahan seperti pengubahsuaian motosikal, pemanduan tanpa lesen yang sah, tiada cukai jalan, dan lain-lain pelanggaran undang-undang trafik.
Sazalee berkata, polis turut menjalankan operasi samseng jalanan di kawasan Lebuh Raya Dr. Lim Chong Eu berhampiran Seagate yang sering menjadi tumpuan mat rempit berlumba haram.
“Seramai lapan lelaki berusia 20-an ditahan kerana berlumba haram dan lapan buah motosikal mereka turut disita kerana kesalahan tersebut.
“Semua mereka akan direman dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE