GEORGE TOWN – Skuad Penang FC optimis memperoleh tiga mata menerusi perlawanan Liga Super bertemu Perak FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini sekali gus bersedia mengerah tenaga importnya membantu menyumbang kemenangan buat pasukan.
Jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, beliau percaya masa rehat yang panjang memberi peluang kepada barisan pemainnya untuk kembali beraksi dengan penuh cemerlang.
Menurutnya, tempoh tersebut juga dianggap mencukupi untuk pasukan menambahbaik mutu permainan dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super.
“Persiapan telah dilakukan selama lebih kurang 20 hari. Saya positif yang pasukan mampu memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan Ahad ini.
“Pasukan akan buat ‘comeback’ nanti. Kita tambah baik apa yang kurang sebelum ini. Setakat ini, Alhamdulillah…pasukan kita bebas daripada kecederaan dan juga penggantungan.
“Perlawanan nanti, saya akan kerahkan segala tenaga import yang ada kerana nak tak nak mereka kena sumbangkan kepada pasukan kita.
“Mereka (pemain import) pun tahu pasukan kita sangat memerlukan kemenangan pada ketika ini dan Insya-Allah…kita akan dapat capai apa yang kita hajati,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada perlawanan persahabatan antara Media Mutiara x Kopa menentang Penang FC All Stars di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia (USM), kelmarin.
Acara tersebut merupakan sebahagian program sempena Sambutan Ulang Tahun Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) ke-10.
Turut hadir ialah Pengurus KOPA Arena, Nik Iqbal Nik Ahmad dan Presiden Kelab Media Mutiara Mohd. Iskandar Othman.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, menentang Perak FC menjadi antara perlawanan yang terpenting sebelum bertemu dengan pasukan Selangor FC nanti.
Ketika ini, Penang FC menduduki tangga ke-11 liga dengan mengutip 14 mata daripada 16 perlawanan. -KOSMO! ONLINE