PETALING JAYA – Sime Motors melancarkan AutoArena, pameran automotif pertama negara yang diadakan di dalam Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports City.
Acara selama tiga hari ini yang berakhir petang ini, memperagakan jenama-jenama automotif Sime Motors, termasuk BMW, MINI, Motorrad, BYD, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Volvo itu menawarkan pelbagai pilihan yang meluas bagi kenderaan terpakai premium daripada Auto Selection.
Ini adalah sebahagian daripada acara berkaitan automotif yang bakal dilaksanakan melalui kerjasama yang terjalin antara Sime Motors dengan Perbadanan Stadium Malaysia.
Melalui kerjasama itu juga, Sime Motors akan menyediakan dua kenderaan elektrik (EV) selama 24 bulan untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi bagi operasi stadium.
Pada masa yang sama, stesen pengecasan EV akan dipasang di stadium, memudahkan capaian kepada infrastruktur pengecasan EV bagi masyarakat sekitar.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama tersebut, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors, Jeffrey Gan berkata, penggunaan EV terus meningkat di Malaysia dan boleh dilihat daripada peningkatan berterusan jualan EV, khususnya pada 2024.
“Menerusi kerjasama dengan Perbadanan Stadium Malaysia, kami bukan sahaja memenuhi keperluan operasi mereka dengan membekalkan kenderaan lestari tetapi juga menyumbangkan infrastruktur pengecasan EV kepada masyarakat sekitar kami yang lebih luas.
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meluaskan penggunaan EV menjelang 2030 dan membantu meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman tentang manfaat pemilikan EV bagi rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Menurut Gan, sebagai peserta automotif yang terkemuka, pihaknya sukacita untuk menyediakan pilihan luas EV yang meliputi semua jenama EV syarikat.
“Berbekalkan rekod pencapaian kami yang meluas dalam industri automotif, disokong oleh rangkaian cawangan dan perkhidmatan pelanggan yang mantap bagi kesemua jenama kami, AutoArena adalah satu contoh daripada pelbagai acara dan pengalaman unik yang bakal kami anjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE