BALING – Polis percaya kejadian kebakaran rumah dan kenderaan yang banyak berlaku di daerah ini sejak 24 Disember tahun lalu hingga 2 Januari lalu mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd. Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku itu hanya kejadian biasa, namun setelah disiasat lebih terperinci oleh pihak bomba, wujud elemen lain.
“Terdapat 9 laporan polis yang diterima berkenaan dengan kebakaran rumah dan kenderaan yang berlaku secara berperingkat.
“Daripada sembilan laporan polis itu, terdapat tiga kes yang melibatkan kebakaran keseluruhan rumah di Kupang iaitu sebuah rumah di Kampung Bukit Terabak dan dua buah rumah di Kampung Tanah Periok,” katanya.
Katanya, kejadian pertama pada 23 Disember yang melibatkan kebakaran motosikal di Kampung Pisang, Kupang dan semua kebakaran berlaku di antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi.
“Seramai 13 individu telah ditahan untuk siasatan, namun hanya lapan yang direman. Seorang daripada suspek yang ditahan turut disyaki terbabit dalam kes pecah tabung masjid di Kuala Ketil.
“Selain itu, dua lagi lelaki ditahan kerana disyaki tokan dan memiliki dadah manakala lima daripada mereka pula dipercayai terbabit dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE