PEKAN – Jenazah lima beranak yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di sini hari ini.
Jenazah Hamzah Zahari,52; Rahimah Awang Muda,38; dan Ainul Mardhiyah Hamzah,10; Muhammad Luqman Nur Hakim Hamzah,8, dan Muhammad Lutfi Hamzah,4, selamat dikebumikan dalam satu kubur kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
Terdahulu kesemua jenazah yang menjalani bedah siasat di Hospital Pekan selesai dimandikan kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Jenazah kemudiannya di bawa ke Masjid Nenasi dan disembahyangkan pada pukul 6 pagi.
Semalam perjalanan pulang sebuah keluarga daripada membeli barangan bersama-sama di bandar Rompin menjadi perjalanan terakhir apabila kesemua mereka menemui ajal selepas terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu menyaksikan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina. – KOSMO!