KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan pesisir pantai seluruh Terengganu sepanjang minggu hadapan ekoran fenomena ombak besar dan angin kencang yang sedang melanda.
Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, sepanjang tempoh itu, kawasan pesisir pantai negeri ini termasuk bandar raya ini dijangka menerima tiupan angin purata 25 kilometer sejam (km/j).
“Sebagai perbandingan, tiupan angin pada hari-hari biasa sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) sejak Oktober lalu di negeri ini cuma antara 10 hingga 20 km/j.
“Kelajuan tertinggi direkodkan malam tadi iaitu 40 km/j,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Rosli berkata, kemuncak fenomena angin kencang tersebut dijangka melanda dalam tempoh dua hari sehingga lusa.
Beliau berkata, fenomena angin kencang tersebut amat berbahaya untuk sebarang aktiviti air dan riadah pantai.
“Jangan hampiri pesisir pantai Terengganu sepanjang tempoh itu tanpa sebarang keperluan.
“Fenomena angin kencang tersebut membawa risiko pokok tumbang dan runtuhan struktur yang boleh membahayakan keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE