PETALING JAYA – Tidak berselindung, pelakon Erra Fazira nampaknya semakin terbuka berkongsi momen bersama jejaka dikenali sebagai Mr. E.
Malah, keakraban mereka turut menjadi perhatian apabila dilihat melawat seorang rakan di sebuah pusat perubatan baru-baru ini.
Dalam hantaran Instagram Story Mr. E atau nama sebenarnya Ezwan Zain, dia mendoakan kesembuhan buat individu dikenali sebagai Syam yang dipercayai rakan mereka .
Turut kelihatan dalam foto tersebut pengurus pelakon filem Sembilu itu.
“Semoga Syam cepat sembuh. Kami semua mendoakan yang terbaik untuknya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Keterbukaan Erra, atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, yang semakin kerap dilihat bersama Mr. E mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat malah rata-rata mendoakan kebahagiaan bintang terkenal itu.
“Asalkan Erra bahagia, kami akan sentiasa menyokong. Doakan yang terbaik untuknya,” kata seorang peminat.
“Biarlah dia, asalkan bahagia. Semua orang berhak mengecap cinta,” komen seorang netizen.
Sebelum ini, pelantun lagu Pasrah itu mengaku sedang mengenali seseorang namun meminta agar semua pihak memberi ruang kepadanya.
Sementara itu, Mr. E dalam satu kenyataan turut mengakui hubungan mereka masih di peringkat awal.
Foto yang dimuat naik Mr. E terus menjadi perbualan hangat, namun sehingga kini kedua-dua pihak memilih untuk tidak menjelaskan status sebenar hubungan mereka. – KOSMO! ONLINE