KLUANG – Seorang wanita yang baru habis berpantang selepas melahir anak kedua terpaksa akur untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediamannya di Kampung Palembang Baru dinaiki separas lutut semalam.
Nur Atiqah Md Nasir, 26, berkata, walaupun tidak menjangkakan banjir berikutan cuaca baik sejak tiga minggu lalu, namun persiapan berpindah tetap dilakukan berikutan kelahiran bayi perempuannya 45 hari lalu.
Katanya, apabila hujan berlaku tanpa henti sejak Jumaat, suaminya Zul Iskandar Mohd Suhdi, 31, bertindak membungkus barang-barang penting untuk kegunaan bayinya dan bersiap sedia untuk berpindah.
“Saya baru sahaja habis berpantang pada hari Jumaat, hari Sabtu dah kena pindah ke PPS.
“Bimbang dengan keselesaan anak, kami membawa tilam angin yang boleh diletakkan dalam khemah disediakan untuk mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya lagi, mereka sekeluarga bersyukur apabila bayinya itu tidak meragam walaupun sudah dua hari di PPS ini dan tilam angin yang dibawa itu boleh dipasang untuk dijadikan tempat tidurnya. – KOSMO! ONLINE