ILMU hitam seperti santau angin adalah ramuan beracun yang sering dikenakan kepada seseorang untuk membalas dendam atau menuntut bela.
Akibat hasad dengki, sakit hati atau rasa tidak puas hati, manusia biasa boleh bertukar menjadi syaitan sekelip mata.
Kadangkala asbab santau dihantar bersifat remeh seperti tuntutan pinjaman atau upah tidak dijelaskan seperti dijanjikan.
Kisah Mitos kali ini berlaku hampir sedekad lalu melibatkan seorang individu yang mempunyai jawatan dalam sebuah syarikat korporat.
Apa yang ingin diceritakan bukan berniat mengaibkan sesiapa tetapi bagi memberi pengajaran kepada kita dalam melayari kehidupan seharian di dunia ini.
Menurut seorang usahawan dari Banting, Rafidi Ali, 53, peristiwa sedih yang melibatkan pelanggannya itu amat tragis sehingga membekas di dalam dirinya.
“Saya sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat berkaitan pelancongan. Saya namakan bekas pelanggan saya itu sebagai Samad.
“Samad seorang yang mesra tetapi tegas dalam kerjanya. Keadaan ini menyebabkan dia mempunyai ramai kawan dan lawan,” katanya.
Rafidi berkata, semasa berkunjung ke pejabat Samad untuk satu urusan perniagaan, dia dikhabarkan tidak sihat apabila rebah secara tiba-tiba.
Jelas Rafidi lagi, setelah mengetahui keadaan Samad yang uzur, urusan tersebut terpaksa ditunda untuk menghormati privasi pelanggannya itu.
“Amat mengejutkan apabila kakitangan syarikat memaklumkan, Samad sakit akibat ilmu hitam. Hanya selepas tiga bulan, dia sembuh dan kembali bertugas,” katanya.
Rafidi memberitahu, Samad yang pulih selepas sakit telah berubah dari aspek fizikal dan mental.
Lebih mengejutkan kata Rafidi, Samad yang bertubuh gempal kini semakin susut hingga wajahnya nampak cengkung.
“Samad menceritakan dirinya terkena santau angin yang menyebabkan tubuhnya kehilangan 60 kilogram (kg). Bayangkan berat badannya sebelum ini 120kg.
“Semasa santau itu masuk ke tubuhnya melalui ‘hantaran’ pihak tertentu, dia jatuh pengsan dan muntah darah.
“Pihak hospital telah membuat pelbagai ujian termasuk X-ray, tetapi tidak menemui apa-apa daripada ujian tersebut,” katanya.
“Ketika penyakit itu membelenggu tubuhnya, Samad berkata, dia hilang selera makan dan perutnya seperti dihiris sembilu tajam,” cerita Rafidi.
Keadaan Samad yang semakin menderita telah menyebabkan dia meminta izin untuk keluar dari hospital dan berubat dengan pengamal perubatan tradisional.
“Semasa berubat dengan pengamal perubatan tradisional, Samad memberitahu, dia muntah darah hitam yang busuk dan hanya sembuh selepas dua bulan.
“Namun kata Samad, setelah santau hilang, dia ‘diserang’ pula sakit kepala yang kronik seperti dicengkam oleh tangan gergasi,” katanya.
Jelas Rafidi lagi, Samad menceritakan jantungnya kepanasan seperti dipanggang di atas unggun api.
Ujar Rafidi lagi, disebabkan perkara itu, Samad sukar melelapkan mata setiap malam kerana diganggu mimpi bertemu makhluk menakutkan, di samping rasa sakit di dada kiri.
“Sekali lagi, Samad bertemu bomoh tersebut yang mengatakan musuhnya tidak mahu melihat dia sembuh dan kembali bekerja.
“Sihir itu difahamkan akan menyebabkan Samad kehilangan nyawa jika tidak diubati segera.
“Ketika itu, Samad dari segi mentalnya seperti sudah kehilangan semangat walaupun sudah diubati,” katanya.
Samad memaklumkan kepada Rafidi, sihir yang menyebabkan dia sakit telah dihantar oleh kakitangannya yang tidak dinaikkan pangkat walaupun sudah bertahun-tahun bekerja.
Sihir itu dihantar oleh individu terbabit semata-mata kerana Samad menaikkan pangkat pekerja lebih junior daripada kakitangan senior tersebut.
“Lebih mengejutkan, kakitangan yang disyaki itu masih lagi bertugas tanpa menunjukkan wajah yang mencurigakan.
“Walaupun begitu, Samad tidak menuduh individu yang disyaki atau mahu memecatnya.
“Ini kerana, dia menganggap biarlah Allah membalas perbuatan keji yang menyebabkan dia menderita selama tiga bulan,” katanya.
Selepas setahun berlalu, Rafidi menerima perkhabaran bahawa Samad telah meninggal dunia.
Rafidi yang ketika itu berada di luar negara berkata, kakitangan syarikat Samad memberi mesej pesanan ringkas bahawa majikannya menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
“Isterinya yang mengejutkan arwah untuk solat mendapati Samad sudah tidak bernyawa.
“Amat menyedihkan jika musuhnya itu menggunakan ilmu hitam lebih ‘kuat’ untuk melunaskan dendam kesumatnya sehingga menyebabkan Samad mati. Al-Fatihah untuk arwah,” katanya mengakhiri bicara.