KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia 2025 menjadi pentas terakhir buat pemain beregu wanita profesional, Vivian Hoo selepas mengumumkan mahu menggantung raket selepas ini.
Bagaimanapun, ia bukanlah pengakhiran diharapkan apabila dia yang bergandingan dengan Lim Chiew Sien tersingkir di pusingan kedua kelmarin selepas tewas 6-21, 5-21 kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Sebaik beraksi pada perlawanan terakhirnya kelmarin, Vivian sudah pun memiliki perancangan tersendiri apabila mahu membuka akademi badminton dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Vivian berkata, objektif utama menerusi penubuhan akademi itu adalah untuk mencungkil lebih ramai pemain wanita kerana menganggap Malaysia masih ketandusan pemain-pemain wanita berbanding lelaki.
“Memang saya ada perancangan untuk menubuhkan akademi sendiri tetapi semua itu masih di peringkat permulaan dan belum bermula. Harapan saya untuk lahirkan pemain-pemain yang baik.
“Seperti saya pernah cakap sebelum ini, kita memang kekurangan pemain-pemain wanita sejak dari dulu. Memang itu antara objektif utama saya nanti dan buat masa sekarang kami berpangkalan di Balakong,” katanya.
Sepanjang bergelar pemain lebih satu dekad, pemain berusia 35 tahun itu banyak melakar pencapaian cemerlang, terutamanya ketika masih bersama skuad kebangsaan.
Antara pencapaian terbaiknya adalah memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel ketika bersama Woon Khe Wei muncul juara beregu wanita selain membantu Malaysia menjuarai berpasukan campuran pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.
Empat tahun kemudian pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, dia sekali lagi memenangi pingat emas beregu wanita bersama Chow Mei Kuan selain meraih perak berpasukan campuran.
Selain itu, dia juga meraih pingat perak Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan serta perak Kejohanan Asia 2010 bersama Khe Wei.