KUALA LUMPUR – Hasrat untuk melihat beregu utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 tidak kesampaian selepas mereka tumpas kepada pasangan No. 1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Pada aksi di Axiata Arena tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku gandingan pilihan ketiga kejohanan gagal memanfaatkan kehadiran ribuan penyokong negara selepas tewas straight set 19-21, 14-21 dalam masa 50 minit.
Bagi Tang Jie, mereka berdua telah memberikan yang terbaik dan menafikan sebarang sangkaan bahawa telah berputus asa sehingga menyerahkan kemenangan mudah kepada Yan Zhe-Dongping.
“Kami tidak berputus asa, siapa yang mahu kalah, kan? Kami cuba mencari jalan untuk kembali dalam momentum terbaik. Bukanlah kami nak berputus asa.
“Jadi, memang sedih kalau ada yang kata begitu kerana kami telah memberikan yang terbaik dalam gelanggang. Hari ini, kami sudah merancang dengan baik, cuma tidak memihak kepada kami. Malah, jika kalah sekalipun, kamilah orang yang paling sedih,” kata Tang Jie sejurus tamat perlawanan.
Tambah Tang Jie, selepas mereka dipintas pasangan nombor satu dunia itu pada set pertama dan kedua, mereka tetap bersemangat terutamanya enggan mengecewakan sokongan padu daripada penonton di Axiata Arena.
Kekalahan itu bermakna, hasrat untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil beregu campuran negara di final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia tidak menjadi kenyataan, selepas satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, turut tewas kepada pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran. -KOSMO! ONLINE