KUALA LUMPUR – Aplikasi Telegram dan WhatsApp antara ‘lubuk rezeki’ bagi pihak scammer menipu orang ramai berkaitan penipuan pelaburan tidak wujud sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, aplikasi Telegram dikesan paling banyak digunakan untuk mencari mangsa iaitu 31 peratus daripada jumlah kes yang disiasat.
Katanya, ia diikuti Facebook sebanyak 26 peratus, WhatsApp (25 peratus), perjumpaan secara bersemuka (7 peratus), Instagram (3 peratus) dan lain-lain (7 peratus).
Beliau berkata, menerusi aplikasi itu, pihak scammer akan mewujudkan kumpulan yang akan turut disertai rakan sindiket lain yang memainkan peranan selaku pelabur, ejen, perunding, ‘cikgu trading’ dan sebagainya.
“Untuk kelihatan lebih profesional, sindiket akan mewujudkan platform dagangan yang boleh dimanipulasi untuk memperlihatkan keuntungan.
“Kesemua taktik ini kemudiannya akan memperdaya pelabur untuk membuat pembayaran ke akaun keldai dengan harapan untuk mendapatkan pulangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli berkata, sepanjang tahun lalu, sejumlah 6,337 kes pelaburan tidak wujud telah dicatatkan melibatkan nilai kerugian RM848,629,127.68.
Justeru sebagai langkah proaktif katanya, pada 3 Mac tahun lalu, JSJK telah melancarkan portal Semakmule 2.0 yang merupakan penambahbaikan kepada portal Semakmule terdahulu.
“Melalui Semakmule 2.0, orang ramai boleh membuat semakan nama syarikat dan perniagaan yang disyaki digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan.
“Sehingga kini, sejumlah 836 syarikat dan perniagaan yang disyaki terlibat dengan penipuan pelaburan telah disenaraikan di dalam portal tersebut,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE