KUALA SELANGOR – Para penternak haiwan digesa mengambil pendekatan proaktif bagi mengelakkan haiwan berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan maut dalam kalangan pengguna jalan raya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, zaman telah berubah dengan jalan-jalan kampung sekalipun telah dipenuhi dengan banyak kenderaan sebagai alternatif pengguna jalan raya ke sesuatu lokasi.
Katanya, kepekaan penternak itu juga penting sebelum tindakan dilaksanakan kepada mereka mengikut akta yang sewajarnya.
“Harap para penternak tidak boleh lagilah melepaskan haiwan mereka seperti dahulu. Kena hadam.
“Sebab sekarang ini jalan kampung, macam kita datang tadi ( ke Selangor Fruit Valley) terlalu banyak kenderaan dan tidak boleh ternak kambing, lembu, kerbau, seperti ternak tahun 60an. Itu semua ada kawalan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat tanaman bawang Rose Ehsan di Selangor Fruit Valley, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan maut melibatkan 109 pengguna jalan raya
seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Jelas Mohamad, penternak masih boleh melepaskan namun dalam dilakukan dalam kawasan tertentu dengan kawalan sewajarnya.
“Boleh lepas tetapi dalam ladang kelapa sawit yang dikawal juga macam dilakukan Sawit Kinabalu.
“Mereka (penternak) lepas dalam sawit, itu pun ada pagar. Apabila lembu tempuh pagar akan terkena renjatan elektrik supaya tidak berkeliaran di tempat lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE