PRESTASI tidak menentu ditampilkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meresahkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang bimbang dengan tahap keyakinan mereka.
Bekas juara dunia itu terus bergelut untuk menampilkan aksi terbaik ketika tersingkir seawal pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pasangan No. 6 dunia itu menerima tamparan hebat apabila tewas menerusi straight set 15-21, 18-21 kepada pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen kelmarin.
Justeru, Rexy menggesa anak-anak buahnya itu supaya segera bangkit menjelang Terbuka India yang akan berlangsung di New Delhi minggu depan bagi mendapatkan semula keyakinan dan momentum kemenangan.
“Aaron-Wooi Yik bermula sangat perlahan di set pertama dan lebih banyak menunggu selain membenarkan lawan menampilkan permainan mereka. Itu menyebabkan mereka terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan.
“Berdasarkan pengalaman yang dimiliki, sepatutnya mereka perlu lebih tenang berdepan situasi mata penting tetapi sebaliknya yang berlaku. Mereka melakukan kesilapan yang membolehkan lawan mengambil peluang,” katanya.
Jurulatih dari Indonesia itu juga berharap Aaron-Wooi Yik segera mendapatkan semula rentak permainan terbaik bagi benar-benar bersedia ke arah All England pada Mac depan.
“Selepas ini mereka akan ke India, jadi saya harap mereka akan segera bangkit untuk kembali ke landasan sebenar. Saya tidak mahu tahap keyakinan mereka terjejas sebelum aksi di All England nanti,” ujar Rexy.
Kekalahan di pusingan kedua kelmarin menyaksikan bekas gandingan No. 1 negara itu gagal mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka berjaya ke suku akhir.