IPOH – Usaha sedang dibuat untuk menarik warga tempatan yang menjadi tenaga pengajar atau pensyarah di universiti luar negara untuk kembali memberikan khidmat di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri mengadakan perjumpaan dengan anak-anak Malaysia terbabit untuk melihat peluang bagaimana mereka boleh menyumbang kepada negara ini.
Beliau memberi contoh terdapat warga Malaysia yang menjadi pengajar di institusi pendidikan teknikal di Jepun, iaitu negara negara yang dikenali dengan kehebatan teknologi.
“Di merata tempat, ramai sekali anak-anak Malaysia. Contohnya, kita anggap bahawa negara yang mempunyai kehebatan teknikal iaitu Jepun.
“Seringkali kita belajar daripada mereka, rupanya tanpa disedari ramai anak-anak Malaysia yang mengajar di universiti-universiti itu. Sebab itu kita tengah bincang bagaimana mereka boleh kembali menyumbang, mengajar di institusi-institusi kita,” katanya semasa menghadiri majlis penyerahan bagi projek menyiapkan baki kerja ubah suai kampus cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham di sini hari ini.
Zambry berkata, kementerian juga akan melihat konsep mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia terbabit dapat menyumbang kepada negara secara langsung dan tidak langsung.- KOSMO! ONLINE