GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) menguruskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dengan cekap disertai tadbir urus yang baik tanpa sebarang muslihat dan ketirisan seperti era-era terdahulu.
Ini kerana, Anwar berkata, beliau percaya proses pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dapat dipercepatkan sekiranya MRT Corp mengekalkan rekod syarikat itu yang telus dan bersih.
“Saya harap MRT Corp dapat kekalkan rekod mereka, telus, bersih, cekap dan diurus dengan baik tanpa muslihat dan ketirisan seperti mana kita tahu di era lalu yang penuh dengan karenah.
“Jadi saya harap LRT Laluan Mutiara akan dapat disegerakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, di sini hari ini.
Menurut Anwar, pembangunan infrastruktur dan kemodenan Pulau Pinang perlu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek budaya dan identiti unik negeri itu.
Beliau berkata, Pulau Pinang memiliki keunikan tersendiri yang harus dipelihara, terutamanya dalam soal pembangunan Tapak Pesta Sungai Nibong yang bakal terlibat dengan jajaran projek LRT Laluan Mutiara.- KOSMO! ONLINE