SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk menyerahkan sendiri bantuan kerajaan sebanyak RM20,160,000 kepada 60 buah sekolah persendirian Cina di negara ini sebagai tanda penghargaan terhadap kesetiaan mereka menghormati bahasa kebangsaan.
Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan itu adalah sebagai kesinambungan bantuan kerajaan kepada semua sekolah di seluruh negara.
“Saya ambil kesempatan untuk meneruskannya dan memang sebelum ini ada (peruntukan) tetapi untuk tahun ini saya memutuskan untuk menyerahkan sendiri bantuan kerajaan kepada 63 buah sekolah persendirian Cina dengan masing-masing menerima RM320,000.
“Ini sebagai tanda kita menghargai khidmat mereka dan kesetiaan mereka untuk menyesuaikan kurikulum, menghormati bahasa kebangsaan dan mengangkat martabat rakyat keseluruhan,” katanya ketika berucap pada Sesi Lawatan Perdana Menteri ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pada Majlis tersebut, Anwar yang merupakan bekas guru sandaran selama setahun di Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1 juta kepada sekolah berkenaan.
“Saya mengajar sini satu tahun tidak ada yang paksa saya untuk meninggalkan minat saya untuk menguasai bahasa dan budaya Melayu. Bagi saya, itu pengalaman yang sangat berharga bagi saya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE