LIVERPOOL – Selepas dikejutkan Tottenham Hotspur, beberapa bintang utama Liverpool akan diberikan peluang untuk bermuhasabah diri sebelum meneruskan aksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest di City Ground pada Rabu ini.
Untuk aksi Piala FA menentang Accrington Stanley di Anfield malam ini, pengurus The Reds, Arne Slot dijangka melakukan penggiliran pemain dengan memberikan ruang buat ‘ubi muda’ beraksi.
Ini adalah kali kedua kedua-dua pasukan bertemu sejak pertemuan terakhir pada 1956 yang berpihak kepada Liverpool menerusi kemenangan 2-0.
Ia pastinya memberikan kesempatan terbaik buat pemain-pemain ‘skuad kedua’ untuk menarik perhatian Slot dengan nama seperti bekas bintang Juventus, Federico Chiesa hampir pasti berada dalam kesebelasan utama.
Selain itu, antara pemain muda yang dijangka diberikan peluang membuat debut bersama skuad senior seperti Amara Nallo selepas mengambil kira situasi dihadapi bek tengah, Jarell Quansah yang dihimpit masalah ketika menentang Spurs.
Quansah gagal menamatkan 90 minit ketika Liverpool tewas mengejut 0-1 kepada Spurs pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur kelmarin.
“Jarell berasa kurang selesa dan saya terpaksa mengeluarkannya kerana dia merasakan tekanan. Saya fikir dia merasai sesuatu di bahagian dada,” kata Slot merujuk keadaan Quansah.
Pendekatan itu dilihat wajar untuk memastikan skuad terbaik kekal dalam keadaan cergas memandangkan Forest adalah pasukan tunggal yang berjaya menewaskan Liverpool dalam kancah EPL musim ini. – AGENSI