LIVERPOOL – Tiada kejutan mampu dicipta Accrington Stanley selepas terpaksa akur tewas 0-4 kepada Liverpool pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Anfield, sebentar tadi.
Pengurus Liverpool, Arne Slot melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding skuad yang tewas kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga Inggeris, Khamis lalu.
Bintang muda, Rio Ngumoha yang berusia 16 tahun empat bulan dan 13 hari turut diberi debut dengan skuad senior sekaligus menjadikan pemegang rekod baharu selaku pemain paling muda Liverpool beraksi di pentas Piala FA.
The Reds yang mendominasi permainan nyata berada di kelas tersendiri apabila menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol.
Diogo Jota terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-29 sebelum Trent Alexander-Arnold menutup segala kritikan terhadapnya dengan menghasilkan gol kedua pada minit terakhir separuh masa.
Walaupun ketinggalan dua gol, Accrington Stanley nyata menikmati aksi penuh makna menentang lawan lebih berkualiti dan turut memiliki beberapa peluang terbaik termasuk percubaan Josh Woods pada minit ke-57 yang terkena palang.
Pemain gantian, Jayden Danns yang masuk menggantikan Ngumoha pada minit ke-72 hanya memerlukan empat minit untuk menambah gol ketiga Liverpool sebelum Federico Chiesa melengkapkan jaringan keempat pada minit terakhir perlawanan. – AGENSI