MANCHESTER – Dua kemenangan terakhir termasuk kejayaan membelasah West Ham United 4-1 membolehkan pengurus Manchester City, Pep Guardiola berfikir secara lebih waras untuk menyiapkan skuad terbaik.
Malah kesempatan menentang kelab bawahan, Salford City pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Etihad awal pagi esok memberi kelegaan dan ketenangan buat Guardiola bagi mengembalikan aura sebenar pasukan seperti pernah ditonjolkan sebelum ini.
“Jangan salah faham, saya tetap gembira dengan prestasi pasukan. Sudah pasti saya mampu tidur lena sehingga aksi Piala FA.
“Jika kamu tanya saya adakah pasukan sudah bermain seperti beberapa tahun lalu? Sudah pasti tidak. Namun, pastinya situasi sekarang memberi perkembangan positif buat kami,” katanya.
Makin melegakan Guardiola apabila penyerang sensasinya, Erling Haaland mula menemui sentuhan emas, namun beliau tidak mahu City terbuai dengan perkembangan semasa.
Sebaliknya, Guardiola lebih selesa untuk kekal bermotivasi memperbaiki kelemahan pasukan dan tidak mahu wujud persepsi indah hanya bersandarkan keputusan semasa.
“Kamu menilai berdasarkan keputusan, sebaliknya prestasi kami belum cukup bagus dan tidak capai apa yang pernah kami raih sebelum ini. Kamu sendiri menyaksikan kami bermain dan patut tahu kualiti sebenar kami,” jelasnya. – AGENSI