BALING – Kebakaran beberapa buah rumah di Baling sejak akhir-akhir ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk di daerah itu.
Sebilangan mangsa mendakwa kebakaran berpunca daripada motosikal yang diletakkan di hadapan rumah dan kejadian berlaku pada awal pagi.
Penduduk Kampung Bukit Terabak, Kupang, Zamri Ahmad, 44, dan isterinya, Nurul Wahida Md Saad, 35, tidak menyangka kebakaran kediaman mereka pada Krismas lalu turut ‘merebak’ ke beberapa buah rumah lain di kampung berhampiran.
“Rumah saya terbakar pada pukul 3 pagi ketika sedang bersiap untuk tidur setelah pulang dari kerja. Ketika itu isteri tiada di rumah kerana berada di rumah ibunya, saya rasa seperti bahang di hadapan bahagian luar rumah lalu menjenguk keluar.
“Alangkah terkejut apabila mendapati motosikal terbakar dan api menyambar kereta yang baru setahun lalu yang berada berhampiran motosikal,” kata Zamri.
Susulan kebakaran itu, pada malam berikutnya, berlaku kejadian sama di dua buah rumah penduduk di Kampung Tanah Periuk berpunca daripada motosikal yang berada di hadapan rumah.
Adnan Hassan, 39, berkata, rumah pusaka lebih 100 tahun yang didiami bersama isteri musnah sepenuhnya dalam kejadian pukul 2.30 pagi ketika mereka berada di Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.
Belum reda kebakaran di rumahnya, dia mendapat tahu sebuah lagi rumah yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah Adnan turut terbakar. – KOSMO! ONLINE