LONDON – Walaupun berdepan aksi tidak menentu dalam beberapa perlawanan terdahulu, keharmonian dalam skuad Chelsea belum terjejas menjelang pusingan ketiga Piala FA menentang Morecambe di Stamford Bridge malam ini.
Pemain pertahanan The Blues, Tosin Adarabioyo berkata, dia dan rakan sepasukan masih berada dalam keadaan bersemangat dan sedia melakukan segala-galanya bagi memastikan pasukan kembali menemui rentak kemenangan.
Bekas pemain Fulham itu turut mengakui, persaingan dalam pasukan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama dijangka mampu membantu Chelsea untuk keluar daripada masalah yang sedang dihadapi ketika ini.
“Apabila menyertai pasukan seperti Chelsea, anda perlu berjuang dan bersaing dengan pemain-pemain terbaik. Bagi saya, ia akan membantu kami untuk kembali mendapatkan rentak terbaik sebelum ini.
“Pada ketika ini, semua pemain sentiasa menunjukkan kerjasama dan bersatu, bagi saya itu paling penting. Tidak kira bermain ataupun tidak, kami sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.
Sebelum ini, juara Eropah dua kali itu berdepan aksi tidak menentu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pengurus, Enzo Maresca meskipun beliau bermula cukup baik musim ini sehingga Chelsea dianggap sebagai pencabar takhta liga. – AGENSI