fbpx

‘Moga Tuhan bagi jalan, saya nak pergi haji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN soal mahu sembuh untuk hidup sekadar hidup, namun buat aktor handalan Jalil Hamid ini, beliau mahu hidup sehidup-hidupnya. Beliau mahu menyahut panggilan haji menjadi tetamu Allah dan mahu hidup meneruskan kerja berlakon mencari wang demi menyara keluarga. Semoga ada jalan.

‘HARAP saya cepat sembuh’.

Itu ungkapan semacam doa yang tidak henti terbutir dari bibir aktor veteran Jalil Hamid sepanjang pertemuan empat mata bersama HibGlam tempoh hari.

Jauh di sudut hati, pelakon versatil yang sudah menginjak usia 67 tahun itu menaruh harapan tinggi kembali sembuh selepas disahkan mempunyai masalah jantung.

Enggan memperlahankan rentak sebaliknya konsisten menyahut tawaran demi kelangsungan hidup, beliau akui perlu berjiwa kental demi melunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

JALIL tetap ramah dan menyantuni kunjungan penulis HibnGlam dengan hati terbuka.

Lebih terkesan apabila pemilik nama lengkap Abd. Jalil Abd. Hamid kemungkinan besar terpaksa menolak panggilan menunaikan ibadah haji disebabkan bacaan degupan jantung yang tidak memuaskan.

“Sebenarnya saya tak dapat tahu keadaan terkini, cumanya doktor kata jantung saya masih bengkak dan masih perlukan rawatan.

“Kebetulan saya dan orang rumah dapat tawaran pergi haji tetapi kemungkinan besar saya tak dapat pergi kerana tahap kesihatan tidak memuaskan.

“Doktor kata peratus degupan jantung tak sampai tahap syarat yang ditetapkan Tabung Haji, memang berisiko,” katanya kepada HibGlam.

MENGhidap masalah jantung bengkak sejak dua tahun lalu menuntut Jalil Hamid berulang-alik mendapatkan rawatan secara berkala di hospital.

Panggilan haji

Bagaimanapun, pelakon berusia 67 tahun itu tetap mahu berusaha mencari jalan untuk ke Tanah Suci sebelum membuat pengesahan pada Rabu (15 Januari) nanti.

“Berpuluh tahun saya tunggu tawaran haji, bahkan masa dapat tahu Disember lalu, saya sangat teruja dan terus berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan.

“Namun, saya tengah usaha buat rayuan supaya doktor dapat berikan pertimbangan sebelum tarikh pengesahan tutup pada 15 Januari ini.

“Apa-apa pun saya hanya mampu berdoa selain tawakal, mudah-mudahan Allah beri solusi,” kongsinya.

Sepintas lalu, apa berlaku kepada Jalil mengingatkan penulis terhadap lakonan naskhah lakonannya, Lebai Sampan.

Bezanya, kali ini panggilan haji yang diterima sukar dipastikan akibat masalah kesihatan.

Selain rawatan hospital, Jalil turut mengamalkan pengambilan air hidrogen untuk pemulihan segera seperti saranan seorang kenalan. Ternyata keadaannya kini semakin baik.

SEBAK bercampur gusar, Jalil berharap ada keajaiban dihantar Tuhan agar panggilan haji yang ditunggu-tunggu selama ini dapat disahut.

Duit habis

Meski dalam kesukaran, bintang filem Bisik Pada Langit itu tidak pernah lelah mahu meneruskan kerjaya seni memandangkan ada perut yang perlu diisi.

“Tahun ini baru ada beberapa tawaran iklan dan saya terbuka untuk menerima tawaran drama.

“Meskipun dalam kepayahan, tahun lepas saya buat dua filem iaitu 6 Jilake dan Laknat.

“Saya memang perlu kerja sebab pencen pun tiada. Duit simpanan pun dah habis bayar rawatan hospital berpuluh ribu.

“Saya harap sangat dapat sihat kembali, nak ligat bekerja balik macam dulu-dulu,” jelasnya.

Pelantun lagu Ayam itu sempat berkongsi perkara paling besar yang bermain dalam fikiran semasa kesihatannya mula merosot.

“Masa pertama kali pengsan ketika penggambaran di Pahang, saya mula fikir hidup sudah sampai penghujung.

“Saya mula hilang keyakinan diri. Akhirnya, saya rasa malu nak jumpa orang, tidak mahu orang nampak saya dalam keadaan tak sihat.

“Selalu juga terfikir, kalau Allah nak ambil nyawa, saya reda,” katanya penuh makna.

BIARPUN dalam keadaan yang kurang sihat, Jalil mahu aktif bekerja dan menerima apa jua tawaran yang datang demi kelangsungan hidup. – SYAKIR RADIN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI