fbpx

MHL: Prestasi juara bertahan belum meyakinkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG TNB, Shello Silverius (depan) melarikan bola daripada dirampas pemain lawan pada aksi MHL kelmarin. - IHSAN HOKITA

JUARA bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas berpesta gol melanyak pasukan adik, TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Begitupun, ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui prestasi pasukannya masih belum berada pada tahap memuaskan kerana banyak aspek perlu diperbaiki sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kami menang 7-3 tapi saya tidak lihat ini sebagai kemenangan yang selesa. Dari suku pertama hingga akhir, kami tidak bermain dengan baik.

“Ada masa kami didahului oleh lawan. Pasukan masih belum menemui rentak permainan sebenar,” ujar legenda hoki kebangsaan itu.

Saiful turut menekankan kepentingan memperbaiki aspek fizikal dan meningkatkan ketangkasan dalam membuat keputusan di atas padang, susulan aksi anak buahnya yang dilihat kurang meyakinkan serta mudah ditembusi lawan.

“Kemenangan ini tak menjamin apa-apa jika rentak permainan kami tidak diperbaiki. Kami perlukan permainan fizikal yang lebih tangkas dan keputusan yang cepat,” tambahnya.

Tujuh gol TNB dalam aksi itu diperoleh menerusi empat jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan masing-masing satu daripada Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Jang Jonghyun serta Muhammad Nursyahmi Zulkifli.

Sementara itu, kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan mengakui pasukan bermula perlahan pada separuh masa pertama akibat beberapa perubahan taktikal dan susunan pemain.

“Barisan kejurulatihan cuba beri peluang kepada semua pemain, tapi nampaknya tak menjadi pada separuh masa pertama. Alhamdulillah, kami bangkit di separuh masa kedua dan hanya dapat rentak sebenar pada suku keempat,” jelas Syafiq.

Meskipun tidak berpuas hati dengan permulaan perlawanan, Syafiq berkata, fokus pasukan kini memburu tiga mata dalam setiap perlawanan dalam misi mempertahankan kejuaraan edisi lalu.

“Kami perlu sasar tiga mata untuk setiap perlawanan. Kami tak boleh bermula seperti hari ini. Itu satu petanda buruk yang perlu dielakkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI