ALOR SETAR – Mayat kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang semalam ditemukan di tebing Sungai Kedah kira-kira 100 meter dari rumahnya di Taman Tunku Tabor Jalan Gangsa di sini dipercayai lemas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mayat Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle, 7 tahun ditemukan oleh anggota polis yang melakukan operasi mencari di sungai tersebut pada 8.12 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari rumahnya apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat pencarian menaiki bot bermula pukul 7.45 pagi tadi.
“Mangsa ditemukan apabila anggota polis ternampak tangannya di tebing Sungai Kedah itu. Kita mempercayai mangsa terjatuh ke dalam sungai tersebut, namun siasatan masih dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Tunku Tabor di sini hari ini.
Menurutnya, polis menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 4.30 petang semalam.
“Anggota dari IPD Kota Setar giat mengesan mangsa pada pukul 6 petang dengan pencarian awal di kawasan daratan dan persisiran Sungai Kedah. Kita juga menggunakan khidmat anjing K9 yang mengesan mangsa di kawasan sungai tersebut.
“Hasil siasatan awal menemukan pakaian dan lampin mangsa terletak di tepi longkang tidak jauh dari rumah keluarganya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut akan dijalankan dan kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE