fbpx

Kemusnahan di Los Angeles seperti Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJUMLAH rumah musnah seperti dibom di Los Angeles. - Foto AFP

WASHINGTON – Angka korban kebakaran hutan di Los Angeles meningkat kepada enam orang kelmarin, manakala angin kuat memburukkan lagi keadaan dengan banyak kawasan terbakar, lapor akhbar The Sun.

Kebakaran hutan di daerah dan pinggir bandar raya Los Angeles itu bermula Isnin lalu.

Anggota-anggota bomba yang dibantu anjing pengesan terus berusaha untuk men­cari mangsa selepas kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles itu menyebabkan 180,000 orang hilang tempat tinggal.

Kebakaran terbaharu berlaku di Kenneth, meliputi keluasan 20.23 hektar dengan arahan perpindahan selanjutnya dikeluarkan, manakala di Eaton, api memusnahkan kawasan seluas 5,540 hektar.

Syerif Los Angeles, Robert Lu­na berkata, kawasan di bandar raya itu dilitupi kemusnahan seperti bom-bom telah digugurkan. Dia juga menjangkakan angka kematian akan terus meningkat.

 

 

“Ini adalah satu krisis,” kata-nya ketika 7,500 anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan api.

Lima orang terbunuh dalam Kebakaran Eaton yang berlaku di Altadena dan Pasadena. Api memusnahkan sepenuhnya rumah penduduk dan premis perniagaan.

Mayat mangsa keenam ditemui petang Rabu lalu di sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Malibu, demikian menurut saluran berita KNBC.

Kelmarin Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan membiayai 100 peratus kos kebakaran itu termasuk gaji petugas dan sukarelawan kecemasan serta tempat perlindungan bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Kebakaran besar itu menjejaskan semua lapisan masyarakat termasuk selebriti kelas A seperti Paris Hilton, John Goodman, Miles Teller, Anthony Hopkins dan Billy Crystal.

Los Angeles yang merupakan hab selebriti kerana terletaknya Hollywood, lengang kelmarin berikutan angin kencang dan cuaca kering menyebabkan enam kebakaran besar merebak di Palisades, Eaton, Hurst, Lidia, Sunset dan Kenneth.

Sementara itu, kebakaran turut marak di Hollywood Hills dan mula mengancam lokasi ikonik seperti papan tanda Hollywood dan Hollywood Bowl.

Ketika api terus merebak ke seluruh bandar raya, menara komunikasi kritikal juga diancam oleh angin panas dan api.

Ketua Perkhidmatan Hutan AS, Randy Moore berkata, angin kencang adalah kebimbangan terbesar dalam kebakaran itu.

Bakal Presiden AS, Donald Trump dan penduduk Los Angeles menggelar kebakaran kali ini sebagai apokaliptik atau kehancuran dan kerosakan yang sangat besar dengan asap hitam serta bara merah dilihat di seluruh bandar raya tersebut.

Kebakaran di Palisades adalah yang paling memusnahkan dalam sejarah Los Angeles dengan kawasan seluas lebih 6,879 hektar hangus, demikian menurut Jabatan Bomba California.

Lebih 12,140 hektar kawasan di seluruh Los Angeles terbakar sejak kebakaran hutan bermula pada Isnin lalu.

Setakat ini, pegawai-pegawai bomba belum dapat mengenal pasti punca kebakaran di Palisades dan Eaton.

Dalam pada itu, polis mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang telah ditangkap kerana disyaki merompak kediaman penduduk berikutan kebakaran di Hollywood Hills dan Palisades. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI