fbpx

[KEMASKINI] ‘18 tahun tunggu Aieman lahir, tak sangka dia ‘pergi’ dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASANAH (kanan) bersama besan, Siti Aminah Tumin, 45 (kiri) menunjukkan gambar anak, menantu serta cucu mereka yang terlibat kemalangan maut di Jalan Batu 3, Kota Tinggi tengah hari tadi.

KOTA TINGGI – “18 tahun saya menanti kehadiran Aieman, tidak sangka dia akan pergi dahulu.”

Demikian luahan sayu Masanah Buyong, 60, ibu kepada Aieman Azriq Ahmad, 22, yang maut dalam kemalangan melibatkan kereta Toyota Vios dengan lori di Jalan Batu 3, di sini tengah hari tadi.

Nahas tersebut turut meragut nyawa isteri Aieman Azriq, Nur Fazilah Noor Azmi, 22, bayi mereka, Aryan Khalif, lima bulan dan rakan pasangan itu, Mohammad Rasyid Razali, 18.

Masanah berkata, Aieman Azriq merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan tinggal bersamanya di Kampung Temenin Baru di sini.

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada kumpulan WhatsApp keluarga.

“Seorang lagi menantu kemudian menghubungi saya sambil menangis menyuruh ke lokasi. Apabila buka semula WhatsApp keluarga, mereka beritahu cucu saya sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya berjumpa mereka malam tadi. Biasanya, isterinya (menantu) balik kerja pukul 6.30 petang dan ambil anaknya di rumah pengasuh. Malam tadi mereka keluar, namun saya tidak tahu mereka pergi ke mana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.

Cerita warga emas itu, hasil perkahwinan Aieman Azriq dan Nur Fazilah, mereka dikurniakan dua anak dengan anak sulung lelaki berusia tiga tahun.

“Anak sulung arwah rapat dengan saya dan suami kerana kami yang jaga, kadang-kadang keluarga menantu turut mengambilnya untuk dibawa pulang ke Pasir Gudang.

“Biasanya jika ibunya tidak ada, cucu saya akan minta datuknya buat ‘video call’ (panggilan video), namun tengah hari tadi tidak berjawab. Tidak sangka mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI