KUALA SELANGOR – Kerajaan dijangka dapat menjimatkan sebanyak RM300 juta kos pengimportan bawang menerusi Program Pembangunan Tanaman Bawang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara mengimport sebanyak 484,867 metrik tan pada nilai RM902.5 juta pada tahun 2021 bagi memenuhi permintaan pengguna.
Katanya, India menjadi pembekal bawang terbesar negara dengan 57 peratus, diikuti China (20 peratus) dan Pakistan (11 peratus).
“Penanaman bawang ini tidak memerlukan kawasan luas dengan 0.4 hektar boleh menghasilkan lebih empat tan bagi satu-satu tuaian.
“Tanaman kontan ini boleh dituai sebanyak tiga kali setahun. Jadi, para petani boleh menjadikan tanaman bawang sebagai kerjaya.
“Import bawang ini rupanya lebih RM900 juta, tinggi. Kalau kita boleh sediakan 30 peratus iaitu bawang kecil, kita dapat jimat lebih kurang RM300 juta daripada wang kita keluar negara,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek tanaman Bawang Rose Ehsan di Selangor Fruit Valley, hari ini.
Menurut beliau, beberapa negeri didapati berpotensi dalam memajukan tanaman bawang seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.
Jelasnya, Program Pembangunan Tanaman Bawang setakat ini masih dalam peringkat rintis dan seawal hujung tahun ini akan mengagihkan benih bawang kecil yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Cumanya di Selangor, bawang kecil ini telah dijual pada harga RM3. 50 di ladang atau RM6 sekilo di pasaran berbanding bawang import antara RM7 hingga RM10,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian menyedari cabaran seperti perubahan iklim, serangan penyakit dan persaingan dengan bawang import yang lebih murah.
“Justeru, kementerian sedang merancang untuk memperkenalkan insentif tambahan bagi penanaman
bawang ini selain sentiasa memperkukuh infrastruktur pertanian.
“Ini terutamanya kemudahan pengairan, jalan ladang dan kemudahan penyimpanan untuk menyokong pengeluaran bawang,” katanya. – KOSMO! ONLINE