fbpx

Jangan cuba jadikan BAM ‘tebusan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBRAMANIAM mahu semua pemain memberi fokus kepada prestasi terbaik selepas BAM berbelanja besar membawa masuk jurulatih berprofil tinggi.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran keras kepada semua pemain di bawah naungan badan induk itu agar tidak terus gagal dalam menghasilkan keputusan yang diharapkan selepas mereka membuat pelaburan cukup besar terutama membawa masuk jurulatih berprofil tinggi.

Selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024, BAM telah melakukan perubahan 360 darjah apabila menyusun semula barisan kejurulatihan mereka terutama memastikan misi mereka untuk membutirkan emas di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles menjadi kenyataan.

Sebagai langkah awal , BAM juga telah memenuhi permintaan pemain dengan masuk jurulatih berprofil tinggi dari luar negara, iaitu Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan, manakala Herry Iman Pierngadi diumumkan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki hari ini.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, selepas pelaburan besar yang dilakukan oleh BAM, sudah tiba masanya pemain memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai mereka.

“Setiap perbelanjaan yang kita keluarkan adalah pelaburan untuk pemain, termasuk membawa masuk jurulatih berprofil tinggi yang dibayar gaji lumayan.

“Malah, kami juga membayar pemain dengan gaji yang lumayan. Sudah tentu ini adalah pelaburan yang tidak boleh dibazirkan. BAM sudah melakukan yang terbaik, jadi giliran pemain pula perlu berikan yang terbaik.

“Kami tidak mahu mendengar lagi sebarang alasan. Tindakan tegas akan diambil sekiranya pemain masih gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan, bukan untuk kami, tetapi untuk negara.

“Jurulatih perlu nilai sama ada pemain bermain dengan baik atau tidak. Kami akan mendengar cadangan daripada jurulatih mengenai tindakan yang perlu diambil,” tambahnya.

Subramaniam turut menegaskan bahawa pemain bintang dalam skuad kebangsaan tidak boleh menjadikan BAM sebagai ‘tebusan’ dengan beranggapan badan induk itu tidak mampu mendapatkan penaja tanpa mereka.

“Ada pemain kita yang berfikiran seperti itu, mereka ingat kalau mereka tiada, BAM tidak boleh dapat penaja. Kita juga ada langkah-langkah lain, kita ada perancangan kita termasuk memperhebatkan lagi program pembangunan. Jadi, mereka tidak boleh jadikan kami sebagai ‘tebusan’. Mereka kena capai keputusan terbaik, bukan untuk kami, tetapi adalah untuk negara,” katanya.

BAM sebelum ini dilaporkan telah memenuhi permintaan beberapa pemain bintang yang menuntut kenaikan gaji dan elaun, yang difahamkan mencecah jutaan ringgit. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI