SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan premium insurans perubatan tidak wajar dinaikkan tanpa sebarang alasan munasabah.
Katanya, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) masih berunding dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan kenaikan itu, beliau mahu memastikan ia tidak akan membebankan rakyat.
“Saya sudah tekankan kepada Gabenor bahawa saya tidak mahu tolak ansur terhadap mana-mana syarikat insurans dan sektor swasta kesihatan.
“Kalau benar (kenaikan) itu diperlukan dan terpaksa (dinaikkan) dengan alasan munasabah, saya akan berdepan dengan rakyat.
“Tetapi kalau sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak pertahankan dan saya tidak akan izinkan. Ini prinsip kita, sebab sementara premium insurans itu dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Penang di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, caj yang dikenakan hospital swasta terhadap pesakit juga memerlukan pengawasan susulan dikhuatiri mengambil kesempatan menaikkan harga untuk meningkatkan keuntungan. – KOSMO! ONLINE